Monday 18 March 2013

Kalimah ALLAH : Bukan bermakna 'GOD' semata-mata

Umum mengetahui, sensitiviti umat Islam amat tersentuh apabila kalimah ALLAH s.w.t seakan dipermainkan. Kalimah ALLAH yang termaktub berulang kali di dalam al-Quran dan al-Sunnah itu sesuatu yang tidak pernah dipertikaikan oleh umat Islam. Ia digelar sebagai ism al-zat iaitu kata nama yang melambangkan secara langsung zat ALLAH s.w.t yang Maha Agung.


Ibn Qayyim al-Jauziyyah mengatakan bahawa nama ALLAH s.w.t itu bersifat menyeluruh. Oleh itu dengan nama tersebut disandarkan seluruh nama-nama-NYA (al-Asma' al-Husna) yang lain. Sebagaimana firman ALLAH swt di dalam surah al-A'raf ayat 180 : "Dan bagi ALLAH, nama-nama yang Maha Baik".

Bagaimanapun, tidak dinafikan sesetengah agama juga mendakwa kalimah ALLAH s.w.t sebagai panggilan kepada nama tuhan mereka. Hal ini bukanlah sesuatu yang baru dan mengejutkan di dalam agam Islam. Malah al-Quran sendiri pernah merakamkan konflik ini sebagai iktibar dan pengajaran buat umat Islam dan bukan Islam.

Sebagai contoh, ketika surah al-Ikhlas diturunkan , ia membicarakan soal konflik tentang siapakah sebenarnya ALLAH yang dituturkan oleh agama-agama lain itu. Adakah ia tepat dan benar dengan konsep "Allah" sebagaimana yang digelar dan dipanggil oleh mereka? Imam Ibn Kathir menukilkan kata 'Ikrimah tentang perihal turunnya ayat ini.

Berkata 'Ikrimah. "Ketika orang Yahudi mengatakan : Kami menyembah 'Uzair anak ALLAH. Orang Nasrani mengatakan : Kami menyembah al-Masih anak ALLAH s.w.t. Majusi pula mengatakan : Kami menyembah matahari dan bulan. Orang musyirikin pula mengatakan : Kami menyembah berhala. Lali ALLAH s.w.t menurunkan ke atas Rasulullah s.a.w itu surah al-Ikhlas yang bermaksud: Katakanlah wahai Muhammad bahawa ALLAH itu Esa, ALLAH itu tempat bergantungnya segala makhluk-NYA, ALLAH itu tidak beranak dan tidak diperanakkan dan ALLAH itu tidak bagi-Nya sekutu".

Tidak mengira apa jua agama, sekiranya mereka tidak mengerti dan mengenal siapa itu ALLAH? Apakah makna sebenar di sebalik nama itu? Jika itu semua tidak diketahui dan dimengertikan, maka mereka sekali-kali tidak layak menggunakan kalimah ALLAH.

No comments:

Post a Comment