Thursday 21 March 2013

Dasar Transformasi Berjaya - PM

KUALA LUMPUR, 19 Mac — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan “kad laporan” yang amat baik hasil pelaksanaan Program Transformasi yang memberi manfaat kepada setiap lapisan rakyat Malaysia.

Beliau berkata Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) itu yang juga menyokong Malaysia menjadi negara maju berpendapatan tinggi dengan acuan sendiri, menjadi asas utama, bukan semata-mata angka tunjuk ekonomi.



“Saya yakin bahawa rakyat bukan sekadar dapat melihat, mendengar dan menilai apa yang telah berlaku, malah juga merasai kesannya,” katanya ketika melancarkan Laporan Tahunan Program Transformasi Negara.

“Saya suka melaporkan kepada rakyat Malaysia bahawa dengan berkat kerjasama dan usaha gigih semua pihak, sama ada rakyat terbanyak, pihak swasta, penjawat awam mahupun anggota pentadbiran, sebahagian besar matlamat yang telah dirancang berjaya dicapai,” kata Najib.

Perdana Menteri berkata ETP dan GTP merupakan eksperimen paling berani yang pernah dilaksanakan oleh mana-mana kerajaan di dunia dalam mengamalkan prinsip ketelusan dan ke pertanggungjawaban, selain membuktikan iltizam kerajaan terhadap falsafah 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.
Dalam aspek ini, hasil kejayaan negara boleh disaksikan menerusi peningkatan Pendapatan Negara Kasar (PNK) per kapita, daripada US$257 pada tahun 1957 kepada US$9,970 pada tahun 2012.
Ini merupakan peningkatan hampir 4,000 peratus dalam tempoh lebih lima dekad, kata Najib yang juga Menteri Kewangan.

Peningkatan taraf hidup ini diperjelaskan lagi melalui angka-angka hasil Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah (PPIR).Menurut Najib PPIR 2012 menunjukkan bahawa isi rumah bulanan purata Malaysia meningkat daripada RM4,025 pada tahun 2009 kepada RM5,000 pada tahun 2012.

Ini merupakan peningkatan lebih daripada 1,200 peratus, sejak PPIR dimulakan pada tahun 1974.
Najib berkata inisiatif-inisiatif GTP berjaya membawa manfaat kepada kehidupan rakyat berpendapatan rendah, termasuk peruntukan lebih RM2.34 bilion untuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada lebih enam juta rakyat serta RM524 juta untuk dimanfaatkan oleh 5.24 juta murid.

Dalam menarik taraf kehidupan rakyat, seramai 106,967 dilibatkan dalam program Azam Kerja, Azam Niaga, Azam Khidmat dan Azam Tani, selain menerima pembiayaan mikro melalui Amanah Ikhtiar Malaysia, Tekun Nasional dan Yayasan Usaha Maju.

Dalam mempertingkatkan pencapaian pelajar, enrolmen prasekolah berjaya ditingkatkan jumlahnya kepada hampir 770,000 tahun lepas atau 80 peratus kumpulan umur berkenaan.
GTP diilhamkan oleh Perdana Menteri dan dilaksanakan di bawah bidang kuasa Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), seiring dengan moto 1Malaysia, “Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan”.
Terdapat tujuh NKRA (Bidang Keberhasilan Utama Nasional) di bawah GTP.

Ia adalah mengurangkan jenayah, memerangi rasuah, menambah baik pendidikan, pembangunan luar bandar serta pengangkutan awam bandar dan meningkatkan standard kehidupan isi rumah pendapatan rendah serta menangani kos hidup.
Majlis itu yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri-menteri Kabinet, disiarkan secara langsung oleh RTM.

Perdana Menteri berkata dari segi pencapaian ETP, kadar pertumbuhan pelaburan swasta berkembang lebih tiga kali ganda, mencatat peningkatan sebanyak 22 peratus tahun lepas, sejak pelancaran ETP lewat 2010.
Beliau berkata selari dengan matlamat ETP dengan sektor swasta memainkan peranan utama sebagai pemacu ekonomi negara, nisbah pertumbuhan pelaburan swasta terus mengalami peningkatan konsisten.
“Pada tahun 2009, jumlah pelaburan swasta hanya merangkumi 52 peratus, namun meningkat kepada 58 peratus pada tahun 2012.

Beliau berkata ini adalah bukti keyakinan sektor swasta yang semakin meningkat terhadap inisiatif transformasi nasional, dengan nilai pelaburan swasta pada 2012 mengatasi sasaran, sebanyak RM139.5 bilion, yang dipacu oleh perbelanjaan modal yang tinggi dalam sektor pengilangan, perkhidmatan dan perlombongan.

“Pelaburan swasta penting kerana ia mempengaruhi kadar pertumbuhan ekonomi negara. Kerancakan pelaburan swasta yang lebih besar berkadar langsung dengan kadar pertumbuhan ekonomi negara yang lebih tinggi.

Pertumbuhan akan menjana kekayaan nasional dan kekayaan yang terhasil ini akan membolehkan kerajaan menjayakan lebih banyak inisiatif yang memanfaatkan rakyat,” katanya.
Sementara itu, Najib berkata hampir 50 juta pelancong melawat Malaysia pada 2011 dan 2012, yang menyumbang PNK bernilai hampir RM100 bilion, manakala dalam pembangunan Greater Kuala Lumpur, My Rapid Transit menawarkan 48 pakej kontrak berjumlah RM19.8 bilion dan 45 peratus atau RM8.9 bilion dengan sebahagian besar diberikan kepada kontraktor Bumiputera.
Bagi sektor minyak dan gas, Projek Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang, Johor bakal wujud peluang perniagaan tinggi kepada 4,000 orang dan kerja-kerja pembinaan kepada 20,000 orang.

Menurut Najib, bagi sektor kandungan dan infrastruktur komunikasi dan kreatif, sebanyak RM547 juta hasil keluaran kreatif dieksport dan 157 ribu jam kandungan industri kreatif terhasil termasuk untuk pembikinan filem “Life of Pi” yang telah dianugerahi “Oscar bagi Kesan Visual Terbaik pada Anugerah Akademi ke-85.
Seramai 1,087 pemilik kedai runcit menyertai program TUKAR dan purata jualan meningkat sebanyak 30 peratus, kata Najib.

No comments:

Post a Comment